By sahabat gunung On 9:35 AM | Categorized As | With 1 comments
Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh

(NOTA: Cerita ini adalah rekaan semata-mata. Tidak ada kena-mengena dengan kisah sesiapaun, samaada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Namun sekiranya ada persamaan, aku memohon ampun dan maaf, sesungguhnya aku tidak mahu menyakiti hati sesiapa, cuma ingin mengembangkan bakat penulisanku dengan cara tersendiri. Yang baik itu datangnya dari Allah, yang buruk itu datangnya dari kesilapan aku sendiri.)

“Kau pakailah sendiri baju tu. Abah dah takde. Anak tak kenang budi, abah dah mati pun kau tak tahu …..” tergiang-giang kata-kata Kak Long dalam telefon tempoh hari. Aku macam tak percaya, abah dah meninggal dunia, meninggalkan kami …. tanpa aku ketahui sama sekali. Ya Allah, berdosakah aku. Berdosakah aku membuatkan abah ternanti-nantikan kepulangan aku selama ini. 3 tahun aku meninggalkan abah, meninggalkan mak dan adik-beradikku tanpa sebarang berita.

“Anak tak boleh harap. Aku besarkan kau, nanti kau boleh tolong aku, tolong mak kau nie, tolong adik-beradik lain. Ni tak…terperap kat rumah, malas nak kerja, asyik menghabiskan beras mak bapak. Apa nak jadi kau ni. Kau hidap dadah ke… Kau nak nak jadi gangster, kau nak jadi penyakgak….kau nak jadi apa hah…..” aku terkenang peristiwa 13 September 2005, hari terakhir aku mendengar kata-kata abah, kata-kata yang cukup menyakitkan hatiku. Kata-kata yang membawa aku pergi jauh ke utara semenanjung untuk mengubat hatiku yang kecewa.

Aku harapkan itulah kata-kata hinaan terakhir dari abah, biarlah selepas ini dia mendiamkan diri melihat kejayaan yang bakal aku bawa untuk menyinari kehidupan kami sekeluarga. Aku tahu, abah tidak bersalah, dia mahukan anaknya berjaya, bukan menjadi `pengemis’ seperti aku. Sedangkan abah tak tahu, selama ini akulah satu-satunya anaknya yang memberikan duit dapur, bayarkan sewa rumahnya dan belikan duit belanja untuknya dan mak…. Dia tak tahu semua itu, dia tak bersalah,Demi Allah, aku tak salahkannya.

Dia juga tak tahu syarikat tempat aku bekerja, bankrupt. Aku hilang kerja dua minggu yang lepas. Aku hilang mata pencarian, aku duduk di rumah pun untuk mencari peluang-peluang lain, aku tak nak keluar tak tentu arah, nanti duit pampasan yang ada ni akan habis tak tentu hala.

Sebab itu abah marah…sebab itu abah kecewa denganku. Dia ingat aku tak nak bekerja lagi, dia ingat aku pemalas, dia ingat aku nak berpoya-poya sahaja. Malah aku lewat pulang ke rumah pun selama ini, dia ingatkan aku habiskan masa berpoya-poya di kelab malam bersama kawan-kawan aku, sedangkan aku kerja lebih masa di pejabat sebelum aku sambung kerja part-time di sebuah hotel sebagai pencuci pinggan-mangkuk…. Semata-mata mencari duit lebih untuk aku bantu keluargaku, untuk aku mulakan perniagaan kedai runcit sendiri, untuk memberikan sedikit kesenangan buat ibu-bapaku.

Malam itu, aku secara senyap-senyap telah meninggalkan rumah. Aku tidak mahu melukakan hati emak, kerana selama ini dia telah berendam air mata dengan sikap abah yang panas baran. Aku tahu, emak mengetahui apa yang telah terjadi pada diriku, emak juga selama ini yang menerima bantuan dariku, sedangkan abah bermati-matian mengatakan kak Idalah anak yang baik, yang banyak membantu keluargaku, sedangkan Kak Ida sendiri hakikatnya tidak mampu menanggung keluarganya sendiri.

Tapi aku diamkan sahaja. Aku tidak kecewa tetapi bangga dapat membantu emak dan abah. Tapi, malam itu membawa aku ke dunia baru. Dunia tanpa kasih dan saying dari ibu tercinta, ayah tersayang. Aku keluar tanpa aku mengetahui hala tujuanku. Aku hanya tahu, aku hanya berjanji…. Akan ku pulang membawa kejayaan, akan ku pulang memberikan kesenangan buat keluargaku. Aku meninggalkan pesanan buat ibu…..”Emak, maafkan adik. Adik pergi buat sementara. Adik pergi membawa diri, membawa haluan adik sendiri. Adik akan balik membawa kejayaan. Adik akan balik membawa kesenangan buat keluarga kita. Sampaikan salam adik kat abah, nanti adik balik bawa baju raya untuk abah. Adik janji….” Itulah janjiku, dengan menyelitkan sedikit duit untuk digunakan emak bagi menyara kehidupan selama ketiadaan aku.

27 Ramadhan lalu cukup menyentak hatiku. Manakan tidak, harapan yang aku impikan 3 tahun ini, berkecai bila Kak Long mengatakan abah sudah tiada.

“Kau pakailah sendiri baju tu. Abah dah takde. Anak tak kenang budi, abah dah mati pun kau tak tahu …..”.... Abah dah pergi meninggalkan aku, setahun yang lalu. Sakit tua ditambah dengan sakit jantung dan kencing manis yang dia alami. Tambah memilukan hatiku, baju Melayu yang ingin aku hadiahkan untuk abah pakai di pagi raya nanti, baju yang dijahit sendiri oleh bakal menantunya nanti....hanya tinggal harapan. Harapan untuk membuktikan kepada abah bahawa aku adalah anak yang berguna, anak yang akan memberikan kesenangan kepadanya kelak, hanya harapan semata-mata.

”Ya Allah, yaa tuhanku. Ampunkan dosa hambamu ini. Sesungguhnya aku tidak berniat untuk melukakan hati kedua ibubapaku, tidak terlintas untuk aku mengecewakan harapan mereka, tidak terfikir untuk aku kurang ajar terhadap mereka. Ya Allah, mengapa jalan ini yang aku ambil, mengapa ini khabar berita yang aku terima menjelang 1 Syawal ini.... Abah, maafkan adik. ”.

Apa ertinya lagi untuk aku pulang ke kampung. Abah sudah tiada, biarlah kenangan semalam mengajar aku erti sebuah pengorbanan. Aku cukup kecewa, sebagai anak akulah yang paling wajib menguruskan jenazah ayahku sehingga ke liang lahad. Tapi apa yang telah kulakukan untuk perjalanan terakhirnya menemui Tuhan Yang Maha Esa. Aku berdosa pada abah....

****

Esok, semua umat islam akan bergembira menyambut kedatangan 1 Syawal. Aku yakin, kebanyakan dari kita akan bergembira di pagi raya, bersama keluarga makan dan bermaaf-maafan antara satu sama lain. Mungkin, kak Long, kak ida, mak dan adik-beradikku yang lain juga akan bergembira dapat berkumpul bersama. Tetapi aku tidak.... aku masih berada di kebunku, jauh di utara.

Semalam, mak berkali-kali telefon, namun tidakku angkat. Begitu juga Kak Long, tidak jemu-jemu telefon, namun tidak kulayan. Biarkan ku sendiri, bertemankan unggas dan hasil pertanian dan ikan air tawar yang aku usahakan 2 tahun ini.... biarlah aku beraya bersama bakal keluarga isteriku, kerana mereka telah memahami perit jerih ku selama ini di rantau orang.

Malam tadi, mungkin selepas penat menalifonku tanpa kubalas, emak telah mengirimkan sms ku.

”Adik, Selamat Hari Raya. Apa yang sudah berlaku...biarkanlah. Kita yang hidup ini perlu meneruskan kehidupan. Emak sayangkan adik. Yang lain pun sayangkan adik. Walaupun abah selalu maki-makun dan cerca adik, percayalah abah juga sayangkan adik. Kenapa tak balik lagi, kata ada baju untuk abah... takkan untuk abah aje, emak punya takde ke. Emak akan terus menunggu kepulangan adik. Emak juga nak minta maaf di atas segala kesilapan mak selama ini. Emak juga telah memaafkan kesilapan adik. Selamat Hari Raya”.

Emak, adik juga sayangkan emak, sayangkan semua. Adik juga dah sediakan baju untuk emak. Tapi.... ”Kak Long, sampaikan salam adik pada emak. Sesungguhnya adik tidak pernah melupakan emak dan semua. Tapi maafkan adik. Adik nak mohon maaf dari semua sempena bulan baik ini. Biarlah adik pergi. Anggaplah sms ini yang terakhir. Anggaplah adik sudah tiada lagi”.....

***Tamat

About admin - Share a little biographical information to fill out your profile. This may be shown publicly. Share a little biographical information to fill out your profile. This may be shown publicly.

1 comment:

azlishukri said...

salam singgah. selamat hari raya.