Pekan, 11 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata
keputusan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengundurkan diri sebagai Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, adalah satu keputusan yang tepat
dan betul.
Perdana Menteri berkata pengunduran diri itu dilihat sebagai satu pengorbanan demi kepentingan kerajaan dan parti.
"Walaupun setakat ini tiada bukti beliau buat kesalahan dari
segi undang-undang, namun sebab isu NFC mengundang pertikaian dan kontroversi,
beliau sanggup berundur daripada kerajaan," katanya kepada pemberita
sebelum menghadiri majlis tahlil Allahyarham Tun Abdul Razak di Masjid Sultan
Ahmad Shah, Pekan, di sini, hari ini.
Shahrizat dalam sidang akhbarnya di Kuala Lumpur hari ini
mengumumkan pengundurannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat apabila tempoh pelantikannya sebagai Anggota Dewan Negara tamat pada
8 April ini.
Bagaimanapun, Shahrizat berkata beliau akan kekal sebagai Ketua Wanita
UMNO dan Ketua Wanita Barisan Nasional (BN).
Ditanya kedudukan Shahrizat dalam parti, Perdana Menteri berkata
jawatan dalam parti adalah sesuatu yang terpisah daripada jawatan dalam
kerajaan.
"Ini kerana kes NFC (Perbadanan Fidlot Nasional) mencetuskan
pertikaian jawatan beliau sebagai menteri dalam kerajaan," katanya.
Perdana Menteri juga menyarankan supaya anggota-anggota parti
terutamanya Wanita UMNO terus memberi sokongan dan kerjasama kepada Shahrizat
selaku ketua pergerakan itu.
"Beliau telah memberi komitmen untuk memimpin Wanita dan
menjadikan pergerakan Wanita sebagai jentera yang penting dalam pilihan
raya," katanya.
Ketika ditanya mengenai pengganti Shahrizat dalam jawatan Kabinet
itu, Perdana Menteri berkata perkara itu akan ditentukan kemudian kerana tempoh
Shahrizat sebagai menteri Kabinet masih berbaki beberapa minggu lagi.





No comments:
Post a Comment