Putrajaya, 8 Mac – Malaysia diiktiraf negara paling selamat di
Asia Tenggara dan ke-19 di dunia menerusi laporan Indeks Keamanan Global (GPI)
2011, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata ia juga sekaligus membuktikan kesungguhan, komitmen
dan kerja keras semua pihak khususnya pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)
serta agensi-agensi berkaitan.
“Ia termasuklah komitmen sukarelawan polis terlatih dari Angkatan
Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM),” katanya dalam
kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada
pasukan PDRM dan agensi-agensi berkaitan khususnya dalam memastikan rakyat di
negara ini dapat hidup dalam keadaan selamat, aman dan tenteram.
Selain itu katanya pada tahun lepas, jenayah indeks keseluruhan
turut mencatat penurunan sebanyak 11 peratus berbanding tahun 2010, melebihi
sasaran yang ditetapkan iaitu lima peratus.
Sementara indeks jenayah jalanan pula mencatat penurunan sebanyak
40 peratus berbanding tahun 2009, iaitu selari dengan sasaran yang ditetapkan.
Sehubungan itu, KDN akan terus komited untuk mengekalkan kedudukan
itu pada tahun ini dengan melaksanakan dua strategi iaitu PDRM akan menambah
bilangan anggota dan pegawai polis seramai 14,739 untuk melaksanakan aktiviti
rondaan khususnya di empat negeri panas iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan
Pulau Pinang.
Hishammuddin berkata bagi negeri lain yang bukan dalam kategori
kawasan panas, seramai 24,000 anggota dan pegawai polis tambahan dari Ibu
Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) masing-masing
akan ditempatkan.
Strategi kedua pula, katanya ialah memperhebatkan program
‘Community Policing’ dengan melibatkan penyertaan anggota masyarakat termasuk
persatuan penduduk dalam program-program pencegahan jenayah.
Beliau berkata usaha itu termasuklah melaksanakan program
’4-Personnel Patrolling Team’ di empat negeri kawasan panas serta di Sabah dan
Sarawak.
“Menerusi program itu anggota polis akan ditugaskan bersama
sukarelawan polis dari Rela dan JPAM dalam melakukan aktiviti rondaan secara
serentak di kawasan-kawasan tertentu untuk mengurangkan kadar jenayah sekali
gus memastikan masyarakat merasai kehadiran dan penugasan polis,” katanya.





No comments:
Post a Comment