Bukit Kayu Hitam 11 Mac - Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kubang Pasu
mengambil inisiatif membaiki surau di Ladang Rakyat Laka Jaya dekat sini yang
berada dalam keadaan daif.
Program membaiki surau tersebut membabitkan kos RM4,000 yang
meliputi pendawaian elektrik, bumbung surau dan membina semula tandas dan
tempat mengambil wuduk.
Ketua Puteri UMNO Bahagian Kubang Pasu Wan Zawiyah Wan Halim
berkata program tersebut hasil kerjasama Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dan Giat
Mara Kedah membantu lebih 500 penduduk di Ladang Rakyat tersebut yang tinggal
di situ sejak 37 tahun lalu dan dalam serba kekurangan.
Lebih 200 orang termasuk pelajar menjayakan gotong-royong membaiki
surau, membersihkan masjid dan sekitar kediaman penduduk di kawasan ini bagi membolehkan
mereka menjalani kehidupan yang lebih selesa, katanya ketika ditemui di sini,
hari ini.
Ladang rakyat tersebut, mempunyai 286 rumah dengan lebih 500
penduduk, dibuka oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) menerusi tanaman
getah pada tahun 1975.
Wan Zawiyah turut memberi sumbangan berupa makanan kepada 25
keluarga termiskin meringankan beban yang dialami mereka selama ini, selain
pemeriksaan kesihatan secara percuma oleh pelajar Program Kejururawatan KPTM
Kota Baharu, Kelantan.




No comments:
Post a Comment