Melaka, 10 Mac - Golongan veteran UMNO masih
mempunyai peranan besar dalam menyumbang kepada parti, terutama meningkatkan
kesedaran generasi muda terhadap perjuangan UMNO selama ini.
Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin
Yassin berkata golongan itu, yang melalui perit getir mencapai kemerdekaan
sehingga negara mengecapi kejayaan pada masa ini, boleh memberi tunjuk ajar
kepada anak muda yang menikmati hasil perjuangan mereka.
Beliau berkata jika generasi muda tidak
diingatkan tentang perjuangan golongan terdahulu, mereka tidak akan memahami
sejarah atau mengenali UMNO.
"Generasi muda masa ini lahir selepas UMNO
ditubuhkan, selepas kemerdekaan, (jadi) mereka tidak dapat memahami erti
perjuangan yang sebenar.
"Di sinilah kita sebagai orang lama,
ramai daripada kita yang telah melalui beberapa fasa zaman, dapat menceritakan
bagaimana susah payah ketika zaman penjajah, nak capai kemerdekaan dan mengurus
negara," katanya ketika berucap pada majlis amal perdana bersama pemimpin
anjuran Majlis Veteran UMNO Melaka di Dewan Seri Negeri Ayer Keroh malam ini.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri
Mohd Ali Rustam.
Timbalan Perdana Menteri juga berkata golongan
veteran boleh menganjurkan program bersama generasi muda bagi menceritakan
sejarah lampau negara sehingga berada di landasan ke arah menjadi negara maju
Muhyiddin berkata golongan muda mudah terdedah
dengan pelbagai anasir negatif pembangkang dalam kecanggihan dunia sains dan
teknologi pada masa ini.
"Parti pembangkang ini bersimpang-siur,
mereka inginkan undang-undang lebih liberal, memberi perlindungan kepada
Israel, parti Pas pula mengeluarkan fatwa tunggang terbalik.
"Kita bimbang dan takut kalau kita tidak
memainkan peranan, kalau rakyat terpengaruh, ini akan menembusi benteng yang
bina sebelum ini," katanya.




No comments:
Post a Comment