![]() |
| Gambar Hiasan: PM, DS Mohd Najib Tun Abd Razak bersama Pengerusi YBK, Datuk Zainal Sakom |
Shah Alam, 13 Mac- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Yayasan Basmi
Kemiskinan (YBK) mampu menjadi rakan strategik kepada kerajaan Persekutuan dalam
usahanya membasmi kemiskinan rakyat.
Perdana Menteri berkata ini kerana yayasan itu
telah membuktikan keupayaan sebagai badan bukan kerajaan yang dapat menyediakan
pelbagai bantuan untuk golongan miskin daripada segi pendidikan, kewangan dan
khidmat sosial, bukan sahaja di Selangor malah di negeri-negeri lain.
"Kerana kemampuan dan kebolehan yang
dipamerkan YBK lah maka kerajaan tetap memberi sokongan kepada pertubuhan
itu," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran Program Transformasi
Lima Tahun YBK sempena ulang tahun ke-22 yayasan itu di sini hari ini.
Najib memberi contoh projek pembinaan kampus
Universiti Teknologi MARA di Jasin, Melaka yang dilaksanakan oleh YBK.
Mengenai program transformasi lima tahun YBK
yang dilancarkan hari ini, Perdana Menteri berkata program itu akan memberi
kesan yang amat besar kepada golongan sasaran.
Antara objektif program itu ialah meningkatkan
kapasiti Asrama Kasih YBK di Serendah kepada 1,250 pelajar pada 2016 berbanding
1,000 pelajar sekarang dan juga meningkatkan pengambilan pelajar di Pusat
Latihan YBK daripada 1,161 pelatih kepada 9,111 dalam tempoh yang sama.
Najib berkata kekangan besar dihadapi YBK
untuk mencapai matlamatnya ialah apabila 191 hektar tanah dirampas manakala 324
hektar lagi dikaveat oleh Kerajaan Negeri Selangor menyebabkan yayasan itu tidak
boleh melakukan apa-apa di atas tanah berkenaan.
Katanya semasa melawat Selangor sebelum ini,
sekumpulan penyewa ruang niaga Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor
(PKNS) telah memohon supaya Kerajaan Persekutuan mengambil alih kompleks
perniagaan itu setelah PKNS bercadang untuk menaikkan sewa premis mereka
sehingga 100 peratus.
Pada majlis itu Najib menyaksikan pertukaran
memorandum persefahaman antara Akademi Kemahiran YBK dengan syarikat MIGHT METEOR
Advanced Manufacturing Sdn Bhd dan Akademi Mutiara YBK Sdn Bhd dengan A.H.
Razali Sdn Bhd, Manpower Addition Sdn Bhd, R.B.H Enterprise, Pancaran Asas Sdn
Bhd, BBS Tas Con Enterprise Sdn Bhd dan Zedcon Engineering (M) Sdn Bhd.
Perdana Menteri turut menyaksikan anak syarikat
YBK, YBK Usahasama Sdn Bhd menerima surat tawaran kemudahan pembiayaan bernilai
RM31.9 juta daripada Malaysia Building Society Bhd bagi pembiayaan sebahagian
kos pembinaan Universiti Teknologi MARA Jasin.





No comments:
Post a Comment