Kuala Lumpur, 14 April: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia,
hari ini menyokong penuh tindakan ratusan mahasiswa yang mengadakan perhimpunan
bagi menuntut pendidikan percuma di negara ini.
Naib Ketua AMK, Mohd Nazree Mohd Yunus, berkata Pakatan Rakyat mempunyai formula tertentu bagi menyelesaikan hutang pinjaman PTPTN sebanyak RM24.7 bilion membabitkan hampir 651,000 mahasiswa.
Tegas beliau kepada media, Pakatan Rakyat berkeyakinan hutang ini
boleh diselesaikan dengan baik sekiranya sumber kewangan negara diurustadbir
secara berhemah dan telus.
Merujuk kepada Laporan Audit Negara 2009 yang mendedahkan
berlakunya ketirisan sebanyak RM28 bilion, Nazree berkata sekiranya ketirisan
tersebut tidak berlaku, wang tersebut boleh disalurkan ats tujuan pendidikan
kepada mahasiswa negara ini.
"Atas sebab itu kita berkeyakinan, isu PTPTN ini boleh
diselesaikan dengan kita berusaha mengambil dari beberapa sumber, seperti
ketirisan tadi, contohnya," tegas beliau, ketika ditemui di perhimpunan
mahasiswa, di ibu kota, lewat petang tadi.
Selain menyebut keuntungan Petronas yang menjangkau RM90 bilion
juga boleh dijadikan salah satu sandaran bagi menyalurkan pendidikan percuma
kepada mahasiswa, Nazree berkata Pakatan Rakyat begitu prihatin atas setiap
keperitan para mahasiswa di negara ini.
"Jika kita memilih untuk membayar hutang PTPTN itu sebanyak
RM2 bilion setahun sekalipun, secara ansuran 10 tahun contohnya, kita sudah
mampu untuk menyelesaikan keseluruhan hutang mahasiswa terbabit," jelas
beliau lagi.
Beliau turut menambah, mahasiswa yang berusia 20 hingga 25 tahun
kini, sudah mula menanggung hutang hampir RM20000, yang jelas membebankan mahasiswa.
Sambil mengulangi komitmen Pakatan Rakyat dalam menawarkan
pendidikan percuma kepada mahasiswa, Nazree berkata sekiranya BN berjanji untuk
menurunkan harga minyak apabila parti itu menang dalam pilihan raya umum ke-13,
maka Pakatan Rakyat berjanji untuk memansuhkan PTPTN.
Sebelum itu, hampir 500 mahasiswa berhimpun di perkarangan Masjid
Jamek Kuala Lumpur dan kompleks membeli-belah Sogo bagi menuntut pendidikan
percuma kepada mereka.
Perhimpunan anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang diketuai
Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) itu pada mulanya berkumpul di
persekitaran Masjid Jamek Kuala Lumpur, sebelum berarak ke Sogo.
Sepanjang Jalan Raja Laut menuju Sogo, kumpulan lebih 500
mahasiswa itu melaungkan pelbagai slogan bagi menarik perhatian pengguna jalan
raya, antaranya 'Hidup Mahasiswa', 'Jahanam Kapitalis', 'Najib Altantuya',
'Mansuh PTPTN', 'Bangkit Mahasiswa' sambil memegang pelbagai kain rentang.
Tiba di Sogo, kumpulan tersebut mula berucap bagi menyatakan
pendirian mereka terhadap PTPTN yang disifatkan mereka hanya melahirkan
'graduan hutang'.
Sebelum itu, mereka meletakkan kalungan bunga pada potret Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri
Mohamed Khaled Nordin.
Tindakan tersebut dikatakan sebagai simbolik kepada 'kematian' peranan dua menteri
tersebut dalam usaha menyelesaikan isu PTPTN yang dibantah mahasiswa.
Antara pemimpin mahasiswa yang berucap Pengerusi SMM, Mohd Safwan
Anang; dan mahasiswa yang digantung pengajiannya di Universiti Pendidikan
Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abdul Halim.
No comments:
Post a Comment