PUTRAJAYA, 5 April - Wakil penduduk di sekitar Presint 8 dan 11
hari ini mengadakan tunjuk perasaan bertempat di Medan Selera Presint 8, dengan
melonggokkan akhbar lidah rasmi Pas , Harakah dan mengoyakkan akhbar tersebut
sebagai tanda protes.
Ini berikutan tindakan beberapa ahli Pas yang mengedarkan akhbar Harakah, Selangor
Kini dan Sinar Harian secara percuma kepada para penduduk di sekitar kawasan
tersebut.
Menurut Pengerusi Surau Al Ghazali Presint 8, Ustaz Mohd Khalyubi
bin Abdul Majid, bantahan ini dibuat setelah teguran demi teguran terhadap
ahli-ahli Pas yang mengedar akhbar tersebut
tidak dipedulikan oleh mereka.
“Demonstrasi ini untuk membuktikan bahawa penduduk di sekitar
kawasan ini sebulat suara tidak mahu dan
menolak pihak Pas mengedarkan akhbar ini secara percuma kepada penduduk di
sini. Kami tidak mahu ia diteruskan. Apatah lagi, sebahagian berita-berita yang
tersiar di dalam akhbar tersebut lebih kepada menghasut masyarakat dalam usaha
mereka untuk memburuk-burukkan kerajaan,” tegasnya.
Tambahnya lagi, beliau yakin hampir 90 peratus penduduk di sekitar
Putrajaya ini tetap menyebelahi dan menyokong kerajaan biarpun pelbagai
tohmahan dan fitnah yang telah dilemparkan oleh Pas dalam usaha mereka menarik
undi masyarakat setempat.
Manakala menurut ketua komuniti penduduk Presint 8, Roslan Abu
Hanif, penduduk di sekitar ini menolak kegiatan mengedar Harakah biarpun ia
diedar secara percuma ekoran
berita-berita yang tersiar di akhbar tersebut
lebih banyak menyiarkan cerita-cerita yang tidak betul terhadap
kerajaan.
“Kami sebagai penduduk di Putrajaya sudah melihat usaha kerajaan
dengan mata kepala kami sendiri, terutama dalam penambaikan di kawasan kediaman
kami. Rakyat nampak segala usaha kerajaan dan kami sebagai penduduk bersyukur
kepada Allah dengan apa yang ada di Putrajaya hari ini.
“Jadi, masakan kami dapat menerima berita-berita yang ada dalam
Harakah yang mengatakan itu tak cukup, ini tak ada, seolah-olah kerajaan
langsung tidak berbuat sesuatu. Sedang segala usaha kerajaan terutama terhadap
pembangunan dan infrastruktur di sini boleh dilihat oleh masyarakat awam,”
jelasnya.
Seorang penduduk di Presint
11 Pangsapuri Putra Damai, Dean Rahmat pula berkata, perkara ini sudah
berlanjutan hampir dua bulan lamanya. Sebelum ini, ramai diantara para penduduk
di situ sudah pun membuat teguran kepada ahli-ahli Pas tersebut namun teguran
mereka tidak dipedulikan.
“Malah mereka berhujah dengan kami mengatakan bahawa mereka juga
mempunyai hak untuk menyampaikan perkembangan Pas kepada masyarakat
setempat. Kami pun tidak menghalang
mereka untuk meletakkan akhbar tersebut di peti surat kepunyaan penduduk di
situ, namun apabila mereka selesai
meletakkan akhbar tersebut di peti-peti surat penduduk di pangsapuri tersebut,
maka giliran kami pula untuk melaksanakan hak kami sebagai penduduk di situ
untuk mengambil semula akhbar tersebut dari peti-peti surat itu dan
membuangnya,” tegas Dean.
Katanya lagi, tindakan segelintir ahli Pas yang mengedarkan akhbar
Harakah secara percuma itu akhirnya mula menimbulkan tanda tanya dan rasa tidak
puas hati dikalangan penduduk di situ.
“Kemudian kami telah mengadakan mesyuarat persatuan penduduk, dan
majoriti daripada kami tidak setuju dengan edaran percuma akhbar tersebut.
Selepas ini, kami membuat keputusan untuk tidak membenarkan sebarang orang luar
yang ingin mengedarkan akhbar tersebut masuk ke kawasan kediaman kami,”
ujarnya.
Setiausaha Kelab Pemuda Prihatin Putrajaya, Shafari Adly bin Mat
Sharif pula mempertikaikan bagaimana
akhbar tersebut boleh dijual, bahkan diedarkan secara percuma pula kepada
masyarakat awam sedangkan permit
penerbitan akhbar tersebut hanyalah khusus untuk ahli Pas sahaja.
“Saya minta agar pihak KDN memantau dan mengambil tindakan
terhadap Harakah kerana telah melanggar akta penerbitan dengan menjual dan
sekarang ini, mengedarkan secara percuma pula kepada masyarakat awam.
Sepatutnya Harakah perlu mengikuti garis panduan penerbitan yang telahpun
mereka persetujui.
“Tindakan perlu diambil terhadap mereka sebagai satu pengajaran.
Ini bukan soal ketidakadilan dan sebagainya, ini adalah soal pelanggaran
undang-undang dan akta penerbitan yang telah digariskan kerajaan. Saya harap pihak KDN memandang serius
terhadap perkara ini,” katanya.





No comments:
Post a Comment