Kuala Lumpur - Sambil menyifatkan beliau seorang yang optimis dan
percaya pada 'qada dan qadar", Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang
mengakhiri tugas rasmi sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat hari ini, berjanji akan terus mencurahkan khidmat ke atas kumpulan
sasar walaupun tanpa jawatan Kabinet.
“Saya akan teruskan khidmat saya terhadap kumpulan sasar
kementerian walau di mana saya berada kerana saya amat menyayangi mereka.
“Walaupun tiada jawatan, tidak bermakna saya tidak boleh
meneruskan khidmat saya kepada mereka. Saya akan terus berkhidmat,” kata beliau
pada sidang media terakhirnya sebagai menteri Kabinet, di Masjid Wilayah
Persekutuan sekitar jam 4.30 petang tadi.
Pada 11 Mac lalu, Shahrizat mengumumkan keputusan akan melepaskan
jawatan menteri mulai hari ini - hari ini terakhir selaku anggota Dewan Negara.
Keputusan itu dikaitkan dengan isu projek lembu daging Pusat Fidlot Kebangsaan,
yang muncul kontroversi, diuruskan oleh National Feedlot Corporation (NFCorp),
syarikat diketuai suaminya.
Shahrizat dilantik sebagai senator pada 9 April 2009. Penggal
pertama tiga tahun berakhir hari ini.
Katanya, mesej terakhir yang ingin disampaikannya ialah
kepentingan untuk melihat masa depan kementerian dan kumpulan sasar.
“Masa depan kementerian dan kumpulan sasar adalah begitu mustahak
dan saya harap dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Barisan Nasional (BN)
akan menang.
"Kita akan luangkan masa untuk kuatkan lagi jentera Wanita BN
bagi menentukan kemenangan BN nanti. Saya seorang yang optimis dan saya percaya
kepada qada dan qadar. Jadi, saya terima semua ketentuan ini dengan reda dan
rela,” katanya.
Shahrizat turut melahirkan rasa syukur dan terima kasih kerana
berpeluang menjawat jawatan menteri selama 11 tahun.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,
bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi
kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk jadi menteri.
“Kita di kementerian bertuah sebab bekerja dalam satu keluarga,
suka duka kita dan kejayaan yang dicapai kerana kami di kementerian dan agensi
di bawahnya sama ada di Kuala Lumpur mahupun di peringkat negeri hingga ke
daerah, semua pegawai dan kakitangan bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.
Beliau turut menyatakan rasa gembira kerana pada saat terakhir
menyandang jawatan itu, isu berkaitan pembangunan sosial mendapat perhatian
kerajaan.
“Saya gembira kerana pada saat-saat akhir perkhidmatan saya,
pembangunan sosial terutama kumpulan sasar di bawah kementerian iaitu wanita,
keluarga, orang kurang upaya, kanak-kanak, isu kebajikan, warga emas dan isu
pembangunan sosial mendapat perhatian yang amat serius daripada kerajaan
terutama dalam perancangan kerajaan.
“Saya rasa ini adalah satu anugerah kementerian kepada rakyat
Malaysia, saya bersyukur kerana selepas saya lepaskan jawatan saya, kementerian
ini akan berada di bawah kepimpinan Perdana Menteri,” katanya.
Ketua Wanita Umno ini tampil pada program yang terakhir selaku
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - Majlis Swadaya Tahfiz
1Malaysia di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.
Program itu dihadiri kira-kira 1,000 pelajar tahfiz penyeliaan
Persatuan Tahfiz 1Malaysia, yang juga salah satu badan bukan kerajaan di bawah
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Kesemua pelajar tahfiz yang datang dari seluruh Malaysia itu hadir
untuk menyertai program kali ketiga yang dijalankan bersama Persatuan Tahfiz
1Malaysia.





No comments:
Post a Comment