Putrajaya, 6 April - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
hari ini mengumumkan peruntukan RM211.6 juta untuk terus memperkasa dan memartabatkan agenda Islam di Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata daripada jumlah itu RM157 juta akan diperuntukkan
bagi pembinaan masjid, surau Jumaat, surau dan sekolah rendah agama yang baru
bagi memenuhi keperluan seluruh masyarakat Islam di tiga Wilayah Persekutuan,
iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Selain itu, beliau berkata Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
(MAIWP) akan memperuntukkan RM20 juta bagi tujuan penambahbaikan masjid, surau
dan sekolah rendah agama.
"Semoga dengan peruntukan itu warga Islam di Wilayah
Persekutuan dapat menjalankan ibadah dengan lebih berkualiti dan memiliki kehidupan
lebih baik," katanya pada Perhimpunan Perdana Warga Agama/Qaryah Wilayah
Persekutuan Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya
(PICC) di sini hari ini.
Untuk memastikan bidang pendidikan agama terus dipertingkatkan,
Najib berkata peruntukan sebanyak RM3.78 juta akan disalurkan sebagai
bayaran elaun guru KAFA dan guru sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam
Wilayah Persekutuan.
Bagi membela golongan asnaf mualaf, Najib berkata kerajaan
memperuntukkan RM19.8 juta bagi pembinaan Kompleks Darul Hidayah manakala bagi
tuntutan fardu kifayah, sebanyak RM5.23 juta akan disediakan untuk tujuan
pembaikan tanah perkuburan Islam (Raudhatul Sakinah) di Kuala Lumpur.
Selain itu, beliau berkata sebanyak RM2.07 juta diperuntukkan
untuk tujuan pengimarahan masjid, surau Jumaat dan surau sebagai 'jantung
masyarakat' di seluruh Wilayah Persekutuan.
"Bagi menghargai komitmen pentadbir masjid dan surau,
sebanyak RM1.88 juta diberikan sebagai bayaran imbuhan imam ratib, pembantu
bilal dan pembantu noja masjid dan surah Jumaat pada tahun ini," katanya.
Untuk memastikan kawasan masjid dan surau sentiasa ceria, Najib
berkata bantuan kebersihan dan keceriaan sebanyak RM1.06 juta akan
diberikan kepada masjid, surau Jumaat dan surau.
"Bagi menghargai jasa dan sumbangan AJK masjid dan surau
Jumaat di Wilayah Persekutuan, kerajaan memperuntukkan RM821,100 sebagai
bayaran saguhati kepada mereka," katanya.
"Hasil pentadbiran negara yang baik itu kita mesti pulangkan
balik kepada rakyat termasuk golongan agama. Saya janji bahawa bila ekonomi
kita bertambah lebih baik lagi, untung nasib dan kebajikan (rakyat) tetap akan
dijaga sebaik-baiknya oleh kerajaan," katanya.
Pada majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 warga agama itu, Perdana
Menteri turut mengucapkan tahniah kepada golongan agama yang dilihat turut
komited bersama-sama dengan kerajaan dalam memperjuangkan agenda transformasi
negara.
Justeru itu, Najib berkata apabila gagasan 1Malaysia
diperkenalkan, ia tidak lari daripada prinsip Islam kerana salah satu sendi dan nilai
utama yang disebutkan ialah nilai Wasatiyyah atau kesederhanaan.
"Nilai kesederhanaan itu bukan bermaksud lebih kurang, bukan
bermaksud sambil lewa...tetapi bermaksud melakukan yang terbanyak tetapi ada
penyeimbangan dari segi spiritual dan material," katanya.
Beliau berkata dengan nilai kesederhanaan itu, bukan sahaja dapat
membentuk negara yang baik tetapi juga dapat memperjuangkan satu ummah di samping
hubungan baik dengan penganut agama lain turut dapat dipelihara.





No comments:
Post a Comment