Kuala Lumpur, 6 April: Parti Keadilan Rakyat hari ini turut
mengarahkan seluruh anggotanya menyertai himpunan 'duduk bantah' Bersih 3.0
pada 28 April ini.
Kenyataan arahan dan sokongan terhadap Bersih itu dikeluarkan tiga
Naib Presiden PKR iaitu Nurul Izzak Anwar, Tian Chua dan N Surendran dalam satu
kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, PKR sehingga kini bimbang akan kewibawaan
dan kebolehpercayaan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) setelah menerima dan
mendedahkan maklumat tentang pelbagai penyelewengan yang berlaku berkaitan
daftar pengundi.
Ianya termasuklah Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil yang didakwa
menempatkan 457 pengundi pos (suku 3, 2011), yang secara tiba-tiba dipindahkan
dari kawasan Parlimen Bandar Tun Razak (P124) ke Lembah Pantai (P121), walaupun
ianya terletak lebih 3km dari sempadan parlimen Lembah Pantai.
Selain itu juga dakwa mereka, lebih 79,000 pengundi yang
didaftarkan dalam lebih 350 alamat yang sama, di mana setiap alamat itu
merekodkan lebih dari 100 pengundi.
Mereka juga turut mempersoal 42,000 nama yang disahkan SPR sebagai
pemilih yang diragui status kewarganegaraan mereka, yang masih enggan
dibersihkan SPR dari daftar pemilih.
Malah kata mereka, ada juga kes di mana lebih 1,000 pengundi yang
melebihi umur 100 tahun, yang enggan dibersihkan SPR dari daftar pemilih.
"Maka dengan itu, saya bersama pimpinan tertinggi parti
menggesa setiap anggota PKR di seluruh negara untuk keluar menyertai
perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012 di mana sahaja perhimpunan ini
diadakan," tegas kenyataan itu.





No comments:
Post a Comment