Kuala Lumpur, 6 April: Pada hari ini di Masjid Negeri Shah Alam
telah disebar risalah-risalah fitnah kononnya Solidariti Mahasiswa Malaysia
(SMM) akan melakukan satu demonstrasi pada hari ini bagi menentang Kerajaan
Negeri Selangor.
Setiausaha SMM, Haziq Abdullah Abdul Aziz berkata, tuduhan yang
dilemparkan adalah tidak berasas sama sekali memandangkan SMM mengagumi
pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang mesra rakyat, telus, cekap dan
beramanah.
Tambahan lagi, ujarnya kerajaan negeri Selangor adalah antara kerajaan
negeri yang terawal menyahut seruan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik yang
dibawa oleh SMM dan isytihar bahawa Selangor negeri bebas AUKU.
“SMM menafikan fitnah yang dilemparkan dan mengutuk tindakan
mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.
“SMM menolak politik fitnah dan politik samseng yang semakin
menjadi-jadi dalam negara,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Tegasnya lagi, SMM yakin bahawa fitnah itu dibuat oleh pihak yang
merasa tergugat dengan gerakan mahasiswa dan demonstrasi 14 April ini yang akan
diadakan di Dataran Merdeka jam 2 petang.
“Walau apa fitnah dan tekanan ke atas SMM, demonstrasi 14 April
ini tetap akan berjalan dan SMM komited untuk bersama Bersih 3.0 pada 28 April
ini,” ujarnya.




No comments:
Post a Comment