Kuala Terengganu – PKR Terengganu menerima tamparan hebat apabila
pimpinan Pas negeri mendakwa parti itu hanya layak bertanding di tujuh kerusi
di negeri itu berbanding 14 kerusi yang dihasratkan mereka.
Ahli Jawatankuasa Pas Terengganu, Datuk Abu Bakar Chik berkata,
tujuh kerusi itu membabitkan lima kerusi Dun dan dua kerusi Parlimen.
Katanya, keadaan itu berdasarkan kedudukan PKR di Terengganu yang
disifatkan sebagai kategori ketiga.
“Kedudukan PKR dalam kategori pertama adalah seperti di Sabah dan
Sarawak di mana kita sendiri tiada kekuatan di sana. Kategori kedua melibatkan
kawasan campuran dan kategori ketiga adalah di kawasan majoriti Melayu seperti
di Terengganu.
“Jadi, dengan kedudukan PKR dalam kategori ketiga di negeri ini,
Pas kena mengurus seluruhnya dengan kerjasama PKR, sebagaimana Pas juga memberi
kerjasama kepada PKR di Sabah dan Sarawak,” katanya kepada pemberita ketika
ditemui di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu, Jalan Sultan Omar, di sini.
Laporan media semalam menyebut kepimpinan PKR Terengganu hanya mampu menerima keputusan Pas
memberikan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua kawasan Parlimen
untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Pengerusinya Azan Ismail berkata, sekiranya PKR sudah dianggap
sebagai pengemis, parti itu akan menerima apa sahaja keputusan berhubung jumlah
kerusi untuk ditandingi.
"Kalau dia (Pas) rasa kita ni macam pengemis, kita terima
sajalah apa yang dia beri. Apa kita nak kata lagi sebab dia rasa dia hebat, dia
lebih kuat dari kita.
"Saya hairan kenapa kenyataan itu dikeluarkan oleh Pengerusi
Lujnah Pendidikan Pas Pusat dan tidak oleh peringkat tertinggi parti Pas itu
sendiri," katanya.
Sehubungan itu, Abu Bakar berkata, dari sudut pembahagian kerusi
sudah tentu pihaknya akan melihat kekuatan kedua-dua parti sama ada ia boleh
membantu kemenangan Pakatan Rakyat (PR) atau tidak.
Beliau yang juga ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat membuat
perbandingan kedua-dua parti dari sudut realiti politik di negeri ini dan Pas
disifatkan lebih kuat berbanding PKR terutama di peringkat akar umbi.
Bagaimanapun, perbandingan tersebut bukan bertujuan memperkecilkan
kemam-puan PKR kerana pihaknya turut menimbang keputusan yang munasabah
mengenai isu calon.
Abu Bakar dalam masa sama turut memandang hasrat PKR dari sudut
positif dengan menganggap rakannya itu mungkin melihat perkembangan politik
ketika ini baik untuk menonjolkan calon.
Katanya, keadaan itu tidak bermakna PKR perlu berasa ghairah
memiliki kerusi yang banyak kerana apa yang penting adalah soal kekuatan dari
sudut pengurusan di peringkat bawah sebagaimana dimiliki Pas dan sokongan
menyeluruh dari pelbagai peringkat.
“Mana-mana parti perlu tahu kekuatan masing-masing untuk
memastikan kemenangan dan perlu dengan rasa yang ikhlas,” katanya.
Katanya, isu itu juga perlu dilihat berdasarkan beberapa faktor
dan kaedah yang tepat bagi memastikan keputusan yang dibuat kelak boleh
menghasilkan nilai tambah kepada PR dalam merealisasikan hasrat menawan
Terengganu.
No comments:
Post a Comment