Kuala Terengganu -
Kepimpinan PKR Terengganu hanya
mampu menerima keputusan Pas memberikan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun)
dan dua kawasan Parlimen untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Pengerusinya Azan Ismail berkata, sekiranya PKR sudah dianggap
sebagai pengemis, parti itu akan menerima apa sahaja keputusan berhubung jumlah
kerusi untuk ditandingi.
"Kalau dia (Pas) rasa kita ni macam pengemis, kita terima
sajalah apa yang dia beri. Apa kita nak kata lagi sebab dia rasa dia hebat, dia
lebih kuat dari kita.
"Saya hairan kenapa kenyataan itu dikeluarkan oleh Pengerusi
Lujnah Pendidikan Pas Pusat dan tidak oleh peringkat tertinggi parti Pas itu
sendiri," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan oleh
Pengerusi Lujnah Pendidikan Pas Pusat Datuk Abu Bakar Chik semalam yang secara
terbuka mengakui Pas Terengganu lebih kuat berbanding PKR dalam menghadapi
pilihan raya umum nanti.
Sehubungan itu, Pas hanya akan membenarkan PKR meletakkan tidak
lebih daripada tujuh calonnya pada pilihan raya umum nanti iaitu lima di Dun
dan dua di Parlimen.
Sebelum ini, PKR Terengganu mengumumkan hasrat
untuk bertanding 11 kawasan Dun dan tiga kerusi Parlimen dalam usaha
pembangkang menawan negeri ini.
No comments:
Post a Comment