Ipoh, 15 April - Kerajaan tidak menyekat kemahuan mana-mana pihak
untuk berhimpun secara aman asalkan mereka mematuhi syarat yang ditetapkan
mengikut Akta Perhimpunan Aman 2011.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata
antaranya mereka mesti memastikan perhimpunan tidak menyusahkan orang ramai
selain perlu menyakinkan pihak polis bahawa perhimpunan yang bakal dianjur itu
aman.
“Seperti Bersih, kalau mahu lakukan (perhimpunan aman), mereka
(penganjur perhimpunan) perlu yakinkan pihak polis mengenai apa dan di mana
mahu berhimpun (agar) tidak susahkan orang ramai. Semua pihak terikat pada
syarat yang sama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan Barisan
Nasional (BN) Pilihan Orang Muda, di sini, Sabtu.
Beliau diminta mengulas mengenai permohonan beberapa badan bukan
kerajaan (NGO) semalam untuk berhimpun secara aman di Dataran Merdeka pada 21
April ini, bagi membantah usaha pihak tertentu menjayakan agenda lesbian, gay,
biseksual dan transgender serta seks bebas di negara ini.
Mengenai tindakan sekumpulan mahasiswa berhimpun mendesak kerajaan
memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di
ibu negara hari ini, Hishammuddin berkata perkara itu adalah isu yang cuba
dieksploitasi pihak pembangkang.
Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Hishammuddin yang juga
Naib Presiden Umno berkata Pergerakan Pemuda BN dan Pergerakan Puteri Umno
perlu mewujudkan ‘gelombang orang muda’ di setiap negeri.
Beliau berkata masa depan negara adalah bergantung kepada tindakan
golongan muda pada masa sekarang.
“Esok Perdana Menteri akan bentangkan pemansuhan Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA), Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan kita
pinda. Semua ini kita lakukan kerana kita (BN) mendengar dan hormati suara
golongan muda di luar sana,” katanya.
Beliau juga menyifatkan pembangkang ketandusan idea apabila mahu
memansuhkan pinjaman PTPTN semata-mata mahu meraih sokongan golongan muda.
No comments:
Post a Comment