Putrajaya, 15 April- Barisan Nasional (BN) akan mula menghantar
surat kepada pemimpin parti komponennya esok, meminta supaya mereka menghantar
senarai nama calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
berkata, perkara itu diarahkan Perdana Menteri selaku Pengerusi BN Datuk Seri
Najib Tun Razak, dan mereka diberi masa dua minggu untuk mengemukakan senarai
calon masing-masing.
"... esok saya akan tulis kepada semua pemimpin parti
komponen seperti yang diarah," katanya kepada pemberita selepas majlis
penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), di sini hari ini.
Katanya, beliau juga difahamkan ada parti komponen yang tidak mahu
lagi bertanding di kawasan yang diperuntukkan kepada mereka sebelum ini,
sebaliknya menyarankan kawasan tersebut lebih sesuai ditandingi parti komponen
lain.
Bagaimanapun perkara itu belum dapat disahkan, katanya.
Mengenai senarai calon Umno, Tengku Adnan yang juga Setiausaha
Agung parti itu, berkata, saringan peringkat pertama telah selesai dan
senarainya akan dihantar kepada presiden parti tidak lama lagi.
Presiden parti yang juga pengerusi BN, kemudiannya akan mewujudkan
jawatankuasa sendiri bagi menyaring lagi semua nama calon yang diterimanya,
termasuk senarai calon dari parti-parti komponen lain, bagi memilih calon yang
paling sesuai untuk bertanding, katanya.
Merujuk kepada nama yang dicadangkan Umno bahagian, Tengku Adnan
berkata, semua bahagian diminta mengesyorkan tiga nama, namun ada yang
menghantar lebih daripada tiga, ada yang hanya menghantar satu nama, dan ada
yang minta dikekalkan muka lama.
Beliau berkata ada juga bahagian yang mengesyorkan nama calon yang
berada di luar bahagian berkenaan selain pemimpin pertubuhan bukan kerajaan
yang dirasakan mampu membawa kemenangan di kawasan mereka pada pilihan raya
nanti.
"Ini menunjukkan bahawa mereka faham dengan apa yang yang
disebutkan oleh Presiden parti yang berkehendakkan calon 'winnable' pada
pilihan raya nanti," katanya.
Seramai 700 orang menerima
BR1M pada majlis hari ini yang turut menyaksikan pemberian komputer 1Malaysia
kepada 1,000 pelajar yang layak
No comments:
Post a Comment