Kuala Terengganu, 15 April -- Pembahagian kerusi dalam
pakatan pembangkang melibatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara umumnya
hampir selesai kecuali di beberapa negeri seperti Perak dan Pulau Pinang,
kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Pembahagian kerusi di kebanyakan negeri sudah hampir
selesai, cuma ada satu dua kerusi saja lagi yang masih belum muktamad seperti di
Perak ada dua dan Pulau Pinang, satu yang masih perlu dibincangkan.
"Kedah umpamanya daripada 40 kerusi Parlimen dan Dewan
Undangan Negeri (DUN), mungkin ada satu dua lagi yang belum selesai. Ini
bermakna kemajuannya sangat baik dan membanggakan," katanya pada sidang
media selepas melancarkan jentera pilihan raya PKR Terengganu di sini hari
ini. Turut hadir pada majlis itu Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail.
Mengenai dakwaan sesetengah pihak hubungan pemimpin PAS dan PKR
tidak seakrab dulu, Anwar berkata beliau tidak setuju dengan kenyataan itu.
Katanya, semua mesyuarat yang diadakan bersama berjalan mengikut
jadual dan tidak timbul sebarang masalah.
"Hubungan saya dengan Tok Guru Nik Aziz (Mursyidul Am PAS
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) dan Tuan Guru Abdul Hadi (Presiden PAS Datuk Seri
Abdul Hadi Awang) bukan sahaja baik seperti biasa malah lebih akrab lagi,"
katanya.
Mengenai PKR Terengganu yang hanya akan diberi tujuh kerusi oleh
PAS iaitu dua Parlimen dan lima kerusi DUN untuk dipertandingkan pada pilihan
raya umum nanti sedangkan PKR negeri mahu bertanding di tiga kerusi Parlimen
dan 11 DUN, Anwar berkata, PAS ada hak untuk berbuat demikian, tetapi perkara
itu masih boleh dirundingkan.
"Kita boleh minta dan boleh berunding," katanya.
Ketika ditanya mengenai ada pemimpin pembangkang yang berkelakuan
biadap ketika majlis Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim
Mu'adzam Shah baru-baru ini, beliau berkata itu adalah fitnah Umno.
"Saya juga ada pada majlis itu dan berbisik-bisik serta
senyum, tetapi kita bukan menghina. Adakah pemimpin Umno tahu apa yang kita
berbisik antara kita. Saya tidak mahu komen kerana ini semua angkara
Umno," katanya.
No comments:
Post a Comment