
Dipetik dari laman sosial Facebooknya hari ini, Annuar berkata,
khabar angin itu hanya akan memburukkan lagi keadaan dan berharap penyokong
tidak melakukan apa-apa perbuatan yang menyalahi undang-undang.
“Kita menentang penyalahgunaan peraturan dan semua bentuk
ketidakadilan. Oleh itu, lakukan semua perkara dengan tertib dan istiqamah
tetapi dalam keadaan berani dan tegas mengikut saluran dan peraturan yang
betul,” katanya.
Dalam perlawanan Liga Super semalam, Kelantan seri satu gol dengan
T-Team. Hasil 13 perlawanan, Kelantan telah mengumpulkan 28 mata setakat ini.
Pandangan Annuar ini menyusul tulisan beberapa laman sosial heboh
memperkatakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bakal dikenakan potongan
lima mata oleh FAM ekoran dakwaan tindakan penyokongnya membakar patung
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad di Stadium Sultan Muhammad Ke IV
petang, semalam.
Tulisan-tulisan itu juga mendakwa Kelantan juga akan berdepan
tindakan tidak boleh beraksi di Kota Bharu selama lima perlawanan jika hukuman
diputuskan.
Perkembangan ini muncul ketika Annuar, Presiden Kafa, dikenakan
hukuman gantung selama 30 bulan berkuat kuasa 4 April lalu.
Jawatankuasa Tatatertib sebulat suara memutuskan Annuar bersalah
atas dua tuduhan.
Pertuduhan pertama dikenakan hukuman penggantungan dua tahun
manakala pertuduhan kedua untuk tempoh enam bulan.
Beliau berkata, dua penggantungan itu tidak dilaksanakan serentak
atas alasan ia membabitkan dua kesalahan berbeza.
Ekoran keputusan itu, secara dasar Annuar tidak dibenarkan
terbabit dalam aktiviti sukan bola sepak di negara ini sama ada di peringkat
kebangsaan mahu pun di peringkat negeri.
Bagi pertuduhan pertama, ia membabitkan kesalahan mengeluarkan
kenyataan media, manakala pertuduhan kedua membabitkan pelanggaran titah
Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Ahmad Shah.
Annuar juga Timbalan Presiden FAM.
(Sumber: Sinar Harian)
No comments:
Post a Comment